Tuesday, September 14, 2010

~ sambungan melestarikan penulisan~

Ada yang menyebut sukar menjadi penulis. Bukan semua orang boleh menjadi penulis. Saya setuju! menulis sesuatu perkara bukan perkara yang boleh dipandang enteng. Tidak semua berkemampuan menulis sebaik A.Samad Said, Faisal Tehrani, Ridhuan Tee Abdullah dan lain-lain. Tidak semua berkebolehan melontarkan pendapat dan idea seperti Tun Dr. Mahathir. Namun, kecanggihan teknologi telah membenarkan sesiapa sahaja mengakses maklumat, memanipulasinya dan sebagainya. Internet telah menjadi wadah penyampaian yang paling berkesan terutama kepada golongan belia. Walaubagaimanapun, harus diingat, WAJIB!, bagi pengguna internet untuk menggunakan kemudahan tersebut sebaiknya. Tidak menyalahi undang-undang yang termaktub. Rentetan pelbagai kes di internet membawa kepada kesepakatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bergandingan dengan PDRM untuk mencegah jenayah siber. Jenayah siber kini berleluasa dan menimbulkan pelbagai kontroversi yang mencetuskan sentimen perkauman. Oleh itu, marilah kita semua menghindarkan perkara tersebut dengan menyokong 1 Malaysia menjana transformasi negara. Kita bakal menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini, jadi bersamalah kita menyemarakkan semangat nasionalisme dan patriotisme. Marilah kita mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan agama.Rukun negara merupakan paksi perpaduan masyarakat Malaysia. Generasi muda kini perlu menjana mentaliti kelas pertama dan perlakuan unggul agar kestabilan dan keharmonian negara berkekalan. Antara rukun negara yang perlu diperhalusi dan difahami adalah keluhuran perlembagaan. Adakah kita menjunjung perlembagaan? Sejauh manakah kita mengerti perlembagaan? Bagaimanakah kita mengamalkan perlembagaan?.
Keistimewaan perlembagaan kita ialah, perlembagaan itu disepakati oleh moyang kita yang berbilang bangsa. Renungkanlah, sejauh mana kita muhasabah diri kita tentang erti kemerdekaan, perpaduan, kemakmuran dan sebagainya. Janganlah sekadar omong kosong di kedai makan, berbicaralah tentang perkembangan negara. Jangan jadi katak bawah gelas. Melihat dunia luar tapi tidak mengetahui apa-apa pun. Betapa generasi muda kini kian terjerumus dalam lembah kejahilan. Membelakangkan perlembagaan dan menjunjung ideologi yang kurang elok dan menubuhkan organisasi yang tidak sepatutnya. Moga pembaca dapat mengerti isi tersiratnya. Berfikirlah wahai saudara-saudaraku, jadilah golongan ulul-albab, agar kita mampu memartabatkan bangsa Malaysia di saentero dunia.

p/s: buat Tan Sri Dr. Zeti Aziz, tahniah kerana menjadi ketua bank pusat terbaik di dunia. :)

No comments:

Post a Comment